Tuesday, 25 June 2013

Puasa Elak Penyakit Tingkatkan Taqwa


Nota: Artikel ini dipetik dari Harakahdaily 24hb. Jun 2013, artikel yang dikarang oleh:
Ahmad Baei Jaafar.

Selalu kita dengar orang berkata, jangan pentingkan diri sendiri, malah ustaz-ustaz juga sering mengingatkan anak muridnya supaya selalu mementingkan orang lain. “Jika kita selalu memberi nanti kita akan mendapat pulangannya,” kata pakar motivasi.

Persoalannya berapa ramai yang selalu memberi dan terus memberi, tetapi tidak mendapat pulangan yang sewajarnya? Tidak dinafikan, terdapat beberapa orang yang sering menyumbang hingga akhirnya dia pula yang jatuh miskin. Di manakah silapnya teori di atas.

Jawapan yang sering diterima ialah, boleh jadi dia tidak ikhlas dalam memberi, apatah lagi kalau dalam memberi itu dia mengharapkan pulangan pula. Ya keikhlasan hati kita amat besar nilaiannya di sisi Allah. Oleh sebab itu betulkan hubungan dengan Allah zahir dan batin.

Isu di atas ada kaitan dengan formula berikut, “Dalam hubungan kita dengan Allah kita perlu pentingkan diri sendiri, tetapi dalam hubangan dengan manusia kita perlu pentingkan orang lain.” Pelikkan bunyinya, tetapi itulah kaedah yang sewajarnya dipraktikkan oleh umat Islam.

Oleh sebab kita sudah hampir masuk ke bulan Ramadan, formula ini cuba kita kaitkan dengan Ramadan dan amalan puasa. Sebaik sahaja kita melangkah masuk ke bulan Ramadan kita secara semula jadi akan berhadapan dengan Allah dan Manusia, malah akan lebih kerap mengadakan hubungan dengan dua pihak ini.

Hubungan dengan Allah

Puasa adalah ibadah yang menghubungkan manusia dengan Allah, sama juga dengan ibadah lain termasuk ibadah zakat.  Bukan itu sahaja, malah semua ibadah sunat mesti wujud hubungan antara manusia dengan Allah. Sebaliknya ibadah itu akan menjadi sia-sia jika dalam melakukan sesuatu ibadah hatinya terpaut kepada manusia.

Berdasarkan formula itu, apabila seseorang itu berpuasa, mereka perlu pentingkan diri sendiri. Maknanya mereka perlu pastikan bahawa sahur dilakukan mengikut peraturan yang sebaiknya. Semasa berpuasa pastikan mereka tidak melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa. Pada masa yang sama jangan pedulikan orang lain sama dia puasa ke, dia bersahur ke, dia jaga mata ke, tidak perlu diberi komen. Biar urusan mereka dengan Allah.

Pada waktu malam pula, kita bersiap-siap untuk melakukan solat sunat tarawih. Jadi, pastikan kita hadir awal dan solat Isyak berjemaah dan sunatnya dengan sempurna. Kita perlu pastikan solat itu terbaik yang hendak kita persembahkan kepada Allah. Malah perlu kita pastikan yang solat sunat tarawih yang dilakukan terbaik dan paling sempurna. Sebaliknya jika terasa kurang disesali dan diusahakan peningkatannya.

Bayangkan jika semua umat Islam boleh jaga kepentingan diri sendiri dalam ibadah di atas, tentu mereka tiada masa untuk memikirkan kepentingan orang lain. Mereka tiada masa lagi untuk memikirkan ibadah orang lain sama ada betul atau tidak, sempurna atau tidak, sah atau tidak. Percayalah kalau kita tidak fikirkan kepentingan orang lain, kita telah selamat daripada dosa bertekak, dosa mengumpat dan dosa melakukan kerja yang sia-sia.

Kalau begitu kedudukannya, setiap kali kita berpuasa hubungan kita dengan Allah bertambah rapat dan tidak syak lagi dengan perhatian serius dalam hubungan ini akan menjadikan ibadah puasa kita itu lebih berkualiti. Ketika itu kita bukan sahaja sihat fizikal, malah sihat mantel dan segala-galanya. Hal ini kerana kita sudah tidak stres dalam memikirkan hal orang lain. Pada masa yang sama kita akan dianugerahkan sifat taqwa kerana takut untuk melakukan dosa terhadap manusia.
Hubungan dengan manusia

Dalam bulan Ramadan juga kita perlu melakukan hubungan dengan manusia seperti berniaga, bertolong bantu, berderma, memberi hadiah, nasihat ke arah kebaikan dan mengajar. Dalam menjayakan urusan ini, kita diminta supaya selalu menjaga kepentingan orang lain. Elak daripada mengambil kesempatan bagi faedah diri sendiri.

Seorang peniaga sebagai contoh, sewaktu menjual barangannya kepada pembeli perlu pastikan barangan itu berkualiti dan tidak rosak supaya pembeli mendapat manfaatnya. Tawaran harga yang ditetapkan perlu difikirkan nilainya berpatutan dan mampu dibayar oleh pembeli. Dan komunikasi antara penjual dan pembeli juga perlu dilunakkan agar tidak mengecilkan hati pelanggan.

Selain itu jika kita membuat juadah makanan untuk berbuka puasa pastkan baik, sedap dan banyak. Maka menjelang waktu berbuka puasa, bawakan sebahagian juadah itu ke rumah jiran. Semoga dengan itu mereka dapat merasai hasil kerja tangan kita. Biasanya jiran itu akan pulangkan kuih yang lain jika dia juga ada membuat kuih. Amalan seperti ini termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain.

Begitu juga kalau kita boleh mengajar atau memberi nasihat kepada kawan-kawan dalam soal makruf tentu perbuatan itu termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain. Dan amalan yang paling bermanfaat ialah membantu orang susah dengan berderma atau bersedekah dalam bulan Ramadan. Amalan ini semua akan dinilai oleh Allah sebagai kebajikan.

Percayalah dengan amalan menjaga kepentingan orang lain ini, taqwa kita akan meningkat dan bertambah baik. Paling baik lagi kalau amalan itu diteruskan walaupun selepas bulan Ramadan. Jadi, mana-mana umat Islam yang dapat menjaga kedua-dua kepentingan itu, sahlah mereka akan beroleh sehat dan taqwa.

Monday, 13 May 2013

Seminar TEKNIK CEPAT KYUSUK DALAM SOLAT

Seminar 3 jam ini akan dikendalikan Drs. H.Lokman Hakim, dari Indonesia, pada hari Ahad 19hb. Mei 2013 bermula dari jam 10pagi hingga 1 petang, di Dewan Seminar Madrasah Addinniah, Bkt. Antarabangsa.

Pembimbing seminar ini, Pak Lokman adalah seorang pemikir Indonesia yang telah menulis berbagai buku agama serta mengendalikan berbagai seminar serta bimbingan mengenai agama dan pendidikan.Beliau dalam rangka lawatan ke kawasan Kuala Lumpur, yang diunjur khas oleh rakan-rakan dari TNB serta sahabat-sahabat Muslimin dari Taman Tun Dr.Ismail yang mendapati teknik CEPAT KYUSUK DALAM SOLAT didapati berkesan untuk mencapai kyusuk dalam solat.

Seminar ini terbuka kepada semua Muslimin dan Muslimat yang berminat untuk memperbaiki solat mereka serta benar-benar dapat mencapai kekyusukan bertemu Allah. Pada masa seminar itu diadakan buku tentang Teknik yang diajar akan dijual pada harga RM15.00. Tabong derma ikhlas juga akan diedarkan pada hari tersebut untuk sumbangan kepada penceramah dan untuk tabong bulan Ramadan Madrasah.

Semuga kita dapat bersama pada hari itu. Dan diminta mengwar-warkan kepada sahabat-sahabat.






Sunday, 5 May 2013

Time to Cash the vote - PRU 13, 05th. May 2013 - Center KAFA Madrasah ADDINNIAH, Bukit Antarabangsa.

Masa yang ditunggu telah pun tiba... Dipagi yang agak redup dan nyaman diBukit Antarabangsa, Ampang Selangor, para penggundi dipusat mengundi sekolah KAFA, Madrasah Addinniah tidak sabar-sabar untuk membuang undi mereka. Sejak jam 7:30 pagi lagi, para penggundi telah beratur di pintu masuk kepusat menggundi. Sehingga blog ini di kemaskinikan pada jam 9:15, barisan para penggundi telah berbelik ketempat letak kereta Blok B Apt. Riverdale. Amat memberangsang sekali. Gambar-gambar berikut adalah rakaman untuk pagi ini. InsyaALLAH petang nanti kita akan update lagi.















 

Malang dipagi mengundi - sebuah kereta proton saga hijau tiba-tiba terjunam kearah pagar Apt. Riverdale Park, Blok C, berhadapan pusat mengundi.  Tiada yang cedera







Thursday, 2 May 2013

PRU 13, 5hb. May 2013, di Madrasah Addinniah Bukit Antrabangsa.

Hari keramat yang dinanti-nantikan bagi hari Pilihan Raya Umum(PRU) Malaysia akan tiba dalam tempoh tiga hari lagi. Persiapan oleh parti-parti yang bertanding begitu rancak dikawasan Madrasah Addinniah. Kedengaran pekerja-pekerja parti sibuk memasang bendera parti masing-masinserta pondok panas sehingga kelarut malam. Maklumlah bahawa kawasan Madrasah Addinniah ini akan menjadi tumpuan pada hari mengundi yang dijadualkan pada 5hb. Mei 2013 nanti.

Bangunan KAFA Madrasah Addinniah akan sekali lagi dipilih sebagai pusat mengundi SPR untuk kawasan Bukit Antarabangsa dan kawasan sekitarnya. Persiapan telah mula dibuat bagi menerima para penggundi yang akan datang seawalnya 7:30pagi pada hari Ahad ini. Adalah difahamkan seperti pilihan raya lepas, pengiraan undi akan dijalankan di sini juga. Insyaallah, marilah kita keluar beramai-ramai untuk mengundi pada hari tersebut


Bangunan KAFA Madrasah Addinniah yang akan menjadi tumpuan pada 5hb. Mei ini 
yang menjadi salah sebuah pusat mengundi SPR pada PRU 13 ini


Hanya sebuah sahaja pondok panas didirikan sehingga berita ini ditulis yang 
terletak disiring jalan bersebelahan Apt Riverdale Blok B.
Kawasan ini dikatakan terletak diluar 50meter yang dibenarkan



Wednesday, 24 April 2013

Jaduan Pengajian dan Aktiviti Mingguan di Madrasah Addinniah

Pihak kami telah mengemaskini jadual yang tersebut untuk panduan kepada jamaah untuk mengikuti pengajian yang telah diatur. Semuga dengan pengajian yang disediakan para jamaah boleh mendapat manfaat darinya. Sekiranya ada cadangan untuk memperbaiki pengisian yang kita ada sekarang, sila hubungi penyelaras utama pengajian ilmu, Tuan Haji Saidin bin Ahmad.


Monday, 8 April 2013

Kisah Posmen? Nukilan Tuan Ibrahim Tuan Man

Alkisah posmen…

Ada seorang pakcik tua suka menerima surat.

Setiap hari dia akan menunggu kedatangan posmen.

“Terima kasih banyak-banyak. Anta paling hebat di dunia. Tiap-tiap hari ada surat untuk pakcik,” pakcik itu memuji posmen.

“Pakcik, ana ini penghantar surat sahaja,” jawab posmen itu.

“Tidak. Tanpa anta manalah surat ini dapat datang,” jawab pakcik itu kembali.

Pakcik ini menjadi terlalu memuja posmen.

Satu hari, di bulan Ramadhan…

Pakcik menunggu surat, tapi posmen tidak berhenti di depan rumahnya.

Untuk 4 hari berturut-turut, posmen tidak berhenti.

Hari ke 5, pakcik tak tahan, lalu menahan posmen.

“Mengapa anta tak hantar surat pada pakcik?” sergah pakcik itu.

“Sebab tak ada surat untuk pakcik,” jawab posmen itu.

“Mana mungkin tak ada surat. Sebelum ini, tiap-tiap hari anta akan hantar surat pada pakcik,” sergah pakcik itu lagi.

“Ana penghantar surat sahaja pakcik. Kalau tak ada orang hantar surat pada pakcik, ana tak ada apa yang boleh hantar pada pakcik,” jawab posmen dengan penuh sabar.

“Kalau tak ada surat, buatlah surat untuk pakcik! Itu pun tak tahu,” jawab pakcik itu.

Selepas seketika, surat pakcik mula datang kembali.

Satu hari, posmen itu memberitahu pakcik, “Besok ada orang baru ganti ana. Ana dah naik pangkat.”

“Habislah surat pakcik,” keluh pakcik itu.

Posmen tidak berkata apa-apa.

Besok posmen baru mula menghantar surat pada pakcik. Kebimbangan pakcik bahawa suratnya tidak sampai selepas posmen bertukar hilang bila posmen baru mengirimkan surat kepadanya.

“Bagusnya posmen baru ini. Surat masih datang seperti biasa. Tak sangka tukar posmen pun dapat lagi surat seperti biasa,” kata pakcik seperti biasa.

Anak pakcik yang mengirim surat setiap hari ke pakcik. Di bulan Ramadhan, anak pakcik kemalangan masuk hospital, tak sempat kirim surat, tapi juga tak beritahu pakcik kerana bimbang dia risau…

Begitulah kisah di mana pakcik terlalu memuja kebesaran posmen yang menghantar surat kepadanya, sehingga terlupa bahawa surat datang daripada pengirim surat. Posmen ini hanyalah pengirim sahaja. Jika ada surat, posmen akan hantarkan walau bertukar orang.

Begitu juga rezeki kita di bumi Allah. Rezeki kita Allah yang tentukan. Manusia jadi pengirimnya – kadang kala kerajaan jadi pengirimnya. Ada yang terlupa perkara ini sehingga menganggap kerajaanlah yang menentukan rezeki mereka. Walhal kerajaan ini pengirim sahaja. Bertukar kerajaan tidak akan menyekat rezeki yang Allah dah tentukan. Allah akan cari pengirim lain sekiranya rezeki itu dah ditentukan untuk kita.

Dapat cerita ini?

Senyum.

Wednesday, 27 March 2013

'Angan-angan' Untuk Menaik-taraf Ruang Musola Wanita

Ramai para jemaah telah menyuarakan agar tembok(dinding) pemisah antara ruang solat muslimin dan muslimat dapat dirobohkan agar para jemaah muslimah tidak terasa terpencil. Cadangan tersebut sebelum ini telah tidak diletak prioriti utama kerana bilangan jamaah wanita yang hadir pada sesuatu masa amat sedikit bilangannya. Namun begitu apabila jemaah wanita mula menunjuk minat untuk hadir bersolat jemaah serta mengikuti siri pengajian yang dianjurkan menjelang waktu Isyak pada setiap malam telah menampakkan peningkatan maka menjadi tanggung-jawab pengurusan madrasah untuk meletak cadangan ini pada perspektif yang jelas.

Ruang solat wanita ini sebenarnya telah pun dicantikkan menjelang bulan Ramadan lepas, namun tembok(dinding) pemisah yang sedia ada sekarang membataskan fokus solat para jamaah wanita serta kurang jelas berlakunya ketelusan(pandangan) pergerakan dalam berjamaah. Kedua, ruang solat wanita ini terbuka kepada pencemaran bunyi bising dari bunyi kenderaan melintasi jalan raya serta jemaah kanak-kanak belajar Iqra'. Ini menjadikan nya tidak sesuai untuk para jamaah wanita mengikuti siri pengajian yang diadakan. Ketiganya, peningkatan amat ketara jamaah wanita yang ber'safar' berhenti bersolat diMadrasah ini kerana kedudukannya ditepi jalan.

Dibawah ini gambaran perspektif penaiktarafan ruang solat wanita yang dicadangkan. Pada peringkat ini gambaran perspektif ini masih lagi diperingkat awal, cadangan-cadangan lain masih dibuka untuk kebaikan bersama. Walaubagaimana pun cadangan untuk menaik-taraf ruang solat wanita ini masih dianggap 'angan-angan' kerana dananya masih belum tersedia. Derma dan infak dari para jemaah, individu dermawan, badan-badan korperat merupakan alternatif utama, insyaallah.

Lakaran Cadangan Menaik-taraf Ruang Musola Wanita Madrasah Addinniah Bukit Antarabangsa.